Dalam perkembangan terkini, Aleksei Andriunin, pengasas dan CEO firma perkhidmatan kewangan mata wang kripto Gotbit, telah mengaku bersalah atas tuduhan manipulasi pasaran dan penipuan melalui internet di mahkamah persekutuan AS di Boston.
Gotbit menggunakan teknik “wash trading”, di mana syarikat tersebut secara sengaja melakukan transaksi jual beli token yang sama untuk mencipta ilusi permintaan tinggi dan meningkatkan volum dagangan secara palsu. Strategi ini bertujuan menarik perhatian pelabur dan bursa dagangan kripto utama, menjadikan token pelanggan mereka kelihatan lebih popular daripada yang sebenarnya.
Selain itu, Gotbit juga menyediakan “market-making manipulation”, di mana algoritma dagangan digunakan untuk mengekalkan harga token pada tahap tertentu, mengawal turun naik harga secara tidak wajar bagi mewujudkan gambaran kestabilan pasaran.
Andriunin ditangkap di Portugal pada Oktober lalu dalam operasi FBI yang dikenali sebagai “Operation Token Mirrors”, di mana pihak berkuasa mencipta token digital mereka sendiri untuk mendedahkan modus operandi penipu kripto. Susulan penangkapannya, Gotbit bersetuju untuk menyerahkan kira-kira AS$23 juta dalam bentuk mata wang kripto sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes. Andriunin kini berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, dengan penjatuhan hukuman dijadualkan pada 16 Jun.
Kes Gotbit menambah kepada senarai skandal manipulasi pasaran yang melibatkan tokoh-tokoh besar dalam industri mata wang kripto. Pada Disember 2024, Alex Mashinsky, pengasas dan bekas CEO Celsius Network, mengaku bersalah atas tuduhan penipuan komoditi dan manipulasi harga token dalaman Celsius (CEL). Mashinsky didapati memberikan maklumat palsu kepada pelanggan dan menjual pegangan CEL miliknya tanpa pendedahan, memperoleh keuntungan $42 juta. Beliau kini berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun, dengan penjatuhan hukuman dijadualkan pada 8 April 2025.
Selain itu, pada Mei 2024, Changpeng Zhao, pengasas dan bekas CEO Binance, dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan pengubahan wang haram. Binance didapati membolehkan transaksi tidak sah tanpa langkah pematuhan yang sewajarnya dan dikenakan denda sebanyak $4.3 bilion, manakala Zhao sendiri dikenakan denda sebanyak $50 juta. Untuk makluman, Binance telah diharamkan di Malaysia kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Kes-kes ini menekankan kebimbangan terhadap skema manipulasi pasaran dalam industri mata wang kripto, terutama apabila melibatkan tokoh-tokoh utama. Walaupun teknologi blockchain menawarkan potensi besar dalam inovasi kewangan, insiden seperti ini menunjukkan keperluan pengawasan dan peraturan yang lebih ketat bagi melindungi pelabur serta memastikan integriti pasaran.