Pada 22 Mac 2025, lima rakyat Malaysia dan dua warga Taiwan telah didakwa di Amerika Syarikat atas tuduhan terlibat dalam skim penipuan pelaburan ‘pump and dump’ yang menyebabkan kerugian besar kepada pelabur. Kes ini melibatkan rampasan aset bernilai kira-kira AS$214 juta (RM946 juta) yang diperoleh melalui manipulasi harga saham syarikat China Liberal Education Holdings Ltd.
Skim ini dijalankan dengan kaedah yang licik dan tersusun. Para tertuduh mula membeli saham syarikat dalam jumlah besar secara beransur-ansur bagi meningkatkan permintaan secara artificial. Taktik ini dikenali sebagai ‘accumulation phase’, di mana mereka mengumpul pegangan saham sebanyak mungkin sebelum mula mempengaruhi pasaran. Disebabkan syarikat ini mempunyai jumlah saham awam yang kecil (low float stock), harga sahamnya mudah dimanipulasi dengan pembelian berskala besar.
Setelah harga saham mula meningkat, para tertuduh mengorak langkah ke fasa promosi. Mereka menyamar sebagai penasihat pelaburan berpangkalan di AS dan mempromosikan saham ini melalui media sosial, forum pelaburan, dan platform sembang seperti Telegram dan Discord.
Pelbagai strategi digunakan, termasuk memberikan ramalan palsu, mengeluarkan testimoni rekaan, serta menunjukkan peningkatan volume dagangan yang dihasilkan melalui transaksi sesama sendiri (wash trading). Teknik ini berjaya menarik pelabur runcit untuk membeli saham dengan harapan ia akan terus naik.
Bagi mempercepatkan kenaikan harga, para tertuduh menggunakan kaedah spoofing, di mana mereka meletakkan pesanan beli dalam jumlah besar tetapi membatalkannya sebelum ia dipenuhi. Ini mencipta ilusi permintaan tinggi, mempengaruhi sistem perdagangan automatik dan menarik lebih ramai pelabur untuk membeli saham tersebut.
Ketika harga saham mencapai kemuncak, mereka mula menjual pegangan secara besar-besaran (dump phase), menyebabkan harga jatuh mendadak. Akibatnya, pelabur runcit yang terpengaruh dengan promosi ini dan membeli pada harga yang tinggi mengalami kerugian besar apabila harga saham menjunam dalam sekelip mata.
Pihak berkuasa mula mengesyaki aktiviti ini apabila terdapat pola dagangan luar biasa dalam saham China Liberal Education Holdings Ltd. Harga sahamnya meningkat terlalu cepat tanpa sebarang perkembangan fundamental syarikat yang kukuh.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS serta FBI mula menyiasat transaksi yang dilakukan dan menemui bukti manipulasi harga secara besar-besaran. Skim ini akhirnya terbongkar selepas data menunjukkan bahawa saham tersebut dibeli dan dijual oleh akaun yang saling berkaitan, satu petunjuk jelas kepada aktiviti ‘pump and dump’.
Kes ini menonjolkan bahaya manipulasi pasaran saham, terutama bagi pelabur yang terpengaruh dengan promosi yang kelihatan sah tetapi sebenarnya bertujuan memperdaya mereka. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun bagi setiap tuduhan penipuan sekuriti dan 20 tahun bagi setiap tuduhan penipuan kawat (wire fraud).
Bagi para pelabur, kes ini adalah peringatan penting agar tidak mudah terpengaruh dengan “peluang pelaburan luar biasa” di media sosial tanpa membuat penyelidikan mendalam. Skim ‘pump and dump’ sering menjadikan saham dengan jumlah dagangan rendah sebagai sasaran kerana lebih mudah dimanipulasi.