Kejatuhan Saham Tesla dan Dakwaan Elon Musk terhadap Spekulator

Saham Tesla telah mengalami penurunan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Pada 22 Mac 2025, harga saham Tesla ditutup pada AS$248.71, merosot hampir 40% daripada paras tertinggi pada pertengahan Disember 2024. Penurunan ini berpunca daripada beberapa faktor utama, termasuk persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, ketidaktentuan ekonomi global, dan tekanan daripada pemegang saham terhadap strategi syarikat.

Tesla kini menghadapi persaingan hebat daripada syarikat EV China, terutamanya BYD, yang telah mengatasi Tesla sebagai pengeluar EV terbesar dunia. BYD memperkenalkan teknologi pengecasan pantas yang mampu menambah jarak 400 kilometer dalam masa lima minit, serta menawarkan ciri pemanduan sendiri secara percuma—sesuatu yang Tesla masih kenakan bayaran tinggi.

Selain BYD, pengeluar EV lain seperti NIO, XPeng, dan Li Auto turut menunjukkan pertumbuhan yang kukuh. Pada Disember 2024, NIO mencatatkan peningkatan penghantaran sebanyak 73% tahun ke tahun, manakala XPeng meningkat 82%. Momentum kukuh dalam pasaran EV China ini memberikan tekanan besar kepada Tesla, yang kini perlu merangka strategi baharu untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran global.

Di tengah-tengah kejatuhan saham Tesla, Elon Musk membuat dakwaan bahawa beberapa billionare berpengaruh, termasuk spekulator terkenal George Soros, terlibat dalam membiayai protes terhadap syarikatnya. Musk mendakwa bahawa siasatan telah mengenal pasti lima kumpulan—Troublemakers, Disruption Project, Rise & Resist, Indivisible Project, dan Democratic Socialists of America—yang dibiayai oleh ActBlue, sebuah platform pengumpulan dana utama untuk calon Demokratik dan gerakan progresif di Amerika Syarikat. Antara penderma ActBlue yang disebut oleh Musk ialah George Soros, Reid Hoffman, Herbert Sandler, Patricia Bauman, dan Leah Hunt-Hendrix. (aa.com.tr)

Menurut laporan, Indivisible Project, sebuah organisasi bukan untung yang berpangkalan di Washington, telah menerima lebih daripada AS$7.6 juta daripada Open Society Foundations milik Soros antara 2017 dan 2023. Kumpulan ini dikatakan menyelaraskan protes terhadap Tesla di lebih 50 lokasi di seluruh Amerika Syarikat, membawa slogan seperti “Kami perlukan udara bersih, bukan lagi seorang bilionair” dan “Elon Musk mesti pergi.” Protes ini turut merebak ke peringkat antarabangsa, termasuk di Barcelona, London, dan Lisbon. (New York Post, NDTV)

Walaupun Musk mendakwa protes terhadap Tesla adalah sebahagian daripada kempen politik yang dibiayai oleh spekulator seperti Soros dan Hoffman, setakat ini tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka secara langsung dengan demonstrasi tersebut. Sementara itu, faktor utama yang menjejaskan saham Tesla dilihat lebih berkait dengan isu dalaman syarikat dan cabaran persaingan dalam industri EV.

Social Share