Bursa Indonesia Menjunam 7.1%, Pelabur Panik, Dagangan Dihentikan, Apa Sebenarnya Berlaku?

Pada 18 Mac 2025, Indeks Komposit Jakarta (JCI) mengalami kejatuhan mendadak sebanyak 7.1%, menyebabkan Bursa Efek Indonesia (BEI) menghentikan sementara perdagangan (trading halt). Kejatuhan ini mencetuskan panik dalam kalangan pelabur dan menimbulkan persoalan mengenai kestabilan ekonomi di Indonesia.

Beberapa faktor utama dikenal pasti sebagai punca kejatuhan ini. Antaranya ialah kebimbangan terhadap dasar fiskal kerajaan, terutama program makanan percuma bernilai AS$28 bilion setahun yang berpotensi membebankan kewangan negara.

Selain itu, spekulasi mengenai peletakan jawatan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, turut menjejaskan keyakinan pelabur walaupun beliau menafikan khabar angin tersebut. Tekanan jual paksa (forced sell) akibat penggunaan margin juga mempercepat kejatuhan harga saham.

Dalam keadaan panik, trading halt dilakukan untuk menenangkan pasaran. Langkah ini bertujuan mengelakkan jualan panik berterusan, memberi masa kepada pelabur untuk menilai keadaan, serta membolehkan kerajaan mengambil langkah pemulihan.

Namun, apabila perdagangan dihentikan, pelabur tidak dapat menjual saham mereka, menyebabkan dana mereka ‘terkunci’ buat sementara waktu. Jika pasaran terus merosot selepas dagangan disambung, mereka berisiko mengalami kerugian lebih besar.

Sebagai langkah pemulihan, kerajaan membenarkan syarikat membeli balik saham tanpa kelulusan pemegang saham untuk menyokong harga saham. Bank Indonesia turut campur tangan dalam pasaran mata wang bagi menstabilkan rupiah. Selain itu, kerajaan menegaskan komitmen terhadap disiplin fiskal bagi meyakinkan pelabur bahawa defisit bajet masih terkawal.

Kejatuhan pasaran saham ini menunjukkan betapa sensitifnya pelabur terhadap ketidaktentuan ekonomi dan politik. Walaupun langkah-langkah pemulihan telah diambil, cabaran utama kerajaan ialah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negara bagi mengelakkan kejatuhan lebih besar pada masa hadapan.

Social Share