Firma pelaburan berpangkalan di Abu Dhabi, MGX, telah melaburkan AS$2 bilion dalam Binance, pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia. Pelaburan ini mencerminkan keyakinan pelabur institusi terhadap potensi industri mata wang kripto dan strategi UAE untuk menjadi pusat utama aset digital global. Keputusan ini juga menunjukkan minat MGX untuk mengembangkan pengaruhnya dalam teknologi blockchain setelah sebelum ini lebih menumpukan perhatian kepada sektor kecerdasan buatan (AI).
Binance mempunyai hubungan yang kukuh dengan UAE, dengan kira-kira 1,000 daripada 5,000 kakitangannya berpusat di negara tersebut. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Richard Teng, sebelum ini berkhidmat sebagai ketua badan kawal selia kewangan di Abu Dhabi, yang memberi kelebihan kepada Binance dalam memahami keperluan pematuhan peraturan di rantau tersebut.
Pelaburan ini juga seiring dengan strategi UAE untuk menjadi pusat inovasi kewangan digital, terutamanya dalam dunia blockchain yang semakin berkembang pesat.
Namun, di sebalik pelaburan besar ini, Binance masih bergelut dengan pelbagai isu perundangan. Pada Mei 2024, pengasas dan bekas CEO Binance, Changpeng Zhao, mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan serta denda AS$50 juta.
Selain itu, Binance turut dikenakan penalti sebanyak AS$4.3 bilion kerana gagal mematuhi peraturan anti-pengubahan wang haram. Di Malaysia, Binance telah diharamkan oleh pihak berkuasa kerana tidak mematuhi peraturan kewangan tempatan, menyebabkan ramai yang mempertikaikan kredibiliti pertukaran mata wang kripto ini walaupun ia masih beroperasi di beberapa negara lain.
Walaupun Binance berdepan dengan cabaran perundangan, pelaburan MGX ini memberi nafas baharu kepada syarikat tersebut dalam usahanya untuk terus berkembang. Bagi UAE, langkah ini memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama dalam dunia aset digital.
Persoalannya, adakah pelaburan ini akan membantu Binance mengukuhkan reputasinya atau sekadar menjadi usaha untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang masih membelenggu syarikat itu? Hanya masa yang akan menentukan.